Monday, August 23, 2010

Analisis Prosa Pelayaran Yang Penuh Peristiwa dan latihan

Sinopsis Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa (Tingkatan Empat 2010)


 
Dalam antologi Harga Remaja, Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, watak utama Awang Sulung Merah Muda sebagai anak raja telah menyamar sebagai budak hitam yang comot sehingga dipandang hina oleh Tuanku Nakhoda Tua. Ketika dilanda ombak yang bergelora, seisi geliung (kapal) telah mabuk dan jatuh pengsan. Anak Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah meminta dayangnya Si Kembang Cina pergi memanggil Awang Sulung Merah untuk mengemudikan geliung itu. Atas bantuan Awang Sulung Merah, geliung itu dapat diselamatkan .

 
Setelah tiga hari kemudian , ketika laut sudah tenang, jurumudi di geliung itu telah sedar lalu mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam . jurumudi itu menunjukkan keris yang berdarah kepada Tuanku Nakhoda Tua lalu mengatakan bahawa dialah yang menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua yang baru sedar daripada mabuk itu turut mempercayai jurumudi itu dan berjanji jika geliung itu selamat tiba di tanah Jawa, puterinya akan dikahwinkan kepada orang yang menyelamatkan geliung itu.

 
Beberapa hari kemudian, anak kapal diminta mengambil air dan kayu api. Anak kapal lain telah pergi ke pulau untuk mengambil air dan kayu bakau. Sebaliknya Awang Sulung Merah telah berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air laut dan membawa balik batang nipah. Setelah itu Tuan Puteri minum air laut itu dan mendapati bahawa air yang masin itu telah bertukar menjadi air yang manis.

 
Tuanku Nakhoda Tua menghimpun semua anak kapal lalu mengumumkan bahawa sesiapa yang berjaya menyelamatkan baginda, puteri baginda dan geliung itu daripada bajak (lanun) ketika meredah kawasan Laut Sekona Lingga itu dikahwinkan dengan puteri baginda .

 
Ketika melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Semua anak kapal telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri sendiri. Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina untuk meminta bantuan Awang Sulung Merah. Awang Sulung Merah merajuk. Tuan Puteri pun menyuruh Si Kembang Cina menyediakan air limau dan sabun kepada Awang Sulung Merah. Setelah mandi, Awang Sulung Merah kelihatan kacak dan berseri-seri. Ketika lanun ternampak Awang Sulung Merah mereka mengenali penghulu mereka lalu meminta ampu. Semua lanun telah menyerahkan semua dinar emas kepada Awang Sulung Merah untuk melangsaikan hutang kepada Datuk Batin Alam. Semua lanun pun undur dari situ.

 
Sekali lagi jurumudi itu mencabut kerisnya dan menikam ayam lalu mengatakan bahawa dialah yang mengalahkan bajak dan menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua berasa gembira lalu hendak mengahwinkan Puteri Dayang Seri Jawa dengan jurumudi itu. Tuan Puteri memarahi ayahandanya lalu menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Akhirnya Tuanku Nakhoda Tua mengadakan kenduri secara besar-besaran dan mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah.

 
Setelah beberapa ketika kemudian, geliung itu pun belayar hingga Negeri Pati Talak Terengganu. Bujang Selamat telah dititahkan oleh baginda untuk bertanya tentang tujuan kedatangan rombongan Awang Sulung Merah. Atas keizinan isteri, Awang Sulung Merah dan anak buah pun diundang ke istana Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung Merah dijemput bertaruh dalam sabung ayam. Setelah Awang Sulung Merah berseru-seru, ayam baginda Kinantan Suci telah berjaya menewaskan ayam Bujang Selamat.

 
Tema

 
Cerita ini mengemukakan tema kehebatan dan keistimewaan Awang Sulung Merah Muda. Beliau mampu mengharungi pelbagai rintangan sepanjang pelayarannya ke tanah Jawa.

 
Persoalan
  1. Serangan lanun yang telah wujud sejak zaman dahulu lagi.
  2. Dugaan semasa pelayaran seperti serangan lanun dan juga tipu helah anak kapal.
  3. Sikap suka berjudi masyarakat zaman dahulu termasuk golongan bangsawan.
  4. Sikap berhati-hati dan menghormati tempat yang dilawati. Nakhoda Tua telah berhati-hati agar tidak melanggar adat sewaktu berlabuh di negeri Terengganu.
  5. Raja bertindak tanpa terlebih dahulu menyelidik sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.
Watak dan Perwatakan

 
Awang Sulung Merah Muda

 
  1. Awang Sulung adalah anak kepada Tuanku Si Helang Laut dan cucu kepada Si Helang Mawai.
  2. Awang Sulung Merah Muda menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  3.  Awang Sulung merendah diri. Baginda tidak menunjuk-nunjuk kelebihan dan kesaktian yang dimilikinya.Awang Sulung berwajah tampan hingga menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Si Kembang Cina terpikat padanya.
  4.  Awang Sulung memiliki keris dan pedang sakti.
  5.  Awang Sulung memiliki pelbagai kesaktian seperti
  • Menenangkan air laut yang bergelora
  • Tidak perlu memegang kemudi sewaktu belayar
  • Menukar air masin kepada air manis
6.   Awang Sulung berkahwin dengan Puteri Dayang Seri Jawa.

7.   Awang Sulung pandai berpantun.

8.  Awang Sulung suka bersabung ayam.

 

 

 
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa

 
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa ialah anak kepada Tuanku Nakhoda Tua.

Tuan Puteri jatuh hati kepada Awang Sulung.

Tuan Puteri terlalu mengikut perasaan dan dan sanggup terjun ke laut apabila Awang Sulung berhasrat untuk balik ke Bandar Mengkalih.

Tuan Puteri adalah seorang yang bijaksana dan bertegas untuk membantah pendapat ayahnya yang terpengaruh dengan tipu daya jurumudi.

 

Si Kembang Cina

 

Si Kembang Cina adalah orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Si Kembang Cina taat kepada perintah Tuan Puteri.
Beliau juga pandai memujuk Awang Sulung.

Si Kembang Cina bersubahat dengan jurumudi untuk menganiayai Awang Sulung.

 

Tuanku Nakhoda Tua

 
Tuanku Nakhoda Tua adalah ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Banginda mudah percaya akan percakapan orang.

Baginda kesal akan kesilapannya memandang rendah kebolehan Awang Sulung.

Baginda menepati janjinya untuk mengahwinkan kepada sesiapa yang dapat menyelamatkan pelayarannya dengan puteri baginda sendiri.

 

Jurumudi

 

Jurumudi pandai menipu dengan mendakwa bahawa beliau yang menyelamatkan geliung daipada amukan Tuan Pueri Dayang Nuramah dan lanun.

Jurumudi bercita-cita untuk mengahwini Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Beliau berasa iri hati apabila Awang Sulung mendapat perhatian Tuan Puteri Seri Jawa.

Jurumudi adalah seorang pengecut apabila beliau lari sewaktu diserang lanun.

 

 
LATAR
Latar Tempat

 
Di dalam geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Di Pulau Tapai

Di Pulau Salah Nama

Di Negeri Pati Talak Terengganu

 

Latar Masyarakat

 
Masyarakat golongan bangsawan.
Masyarakat golongan bawahan yang bekerja untuk raja. Misalnya anak-anak kapal geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Masyarakat yang taat kepada pemerintah seperti kepada arahan Tuan Puteri.

Masyarakat lanun yang suka merompak.

Masyarakat yang suka berjudi seperti menyambung ayam.

Masyarakat yang kuat mengamalkan adat resam.

 

Nilai Murni

 

Nilai berani. - Awang Sulung berani menentang lanun semasa pelayarannya.

Nilai merendah diri – Awang Sulung sanggup menyamar sebagai budak hitam yang layak menjadi penunggu reban dan penghalau ayam sahaja.

Nilai bijaksana – Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak-anak kapal semasa dalam pelayaran.

 

 

 
LATIHAN SPM

 
1. Pada pendapat anda, bagaimanakah kegiatan lanun dapat dibanteras? (3 markah)

  
2. Jika anda Awang Sulung Merah Muda, apakah tindakan anda ketika menghadapi lanun? (3 markah)

 
3. Pada pendapat anda, wajarkah kegiatan sabung ayam dipertahankan di negara kita? (3 markah)

 
4. Pada pendapat anda, apakah keburukan tabiat berhutang? (3 markah)

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment